2014 genap 44 tahun UKM. Tahun 2014 juga genap 30 tahun usia Program linguistik UKM. Program Linguistik ditubuhkan pada 1984, pada masa itu dengan entiti Jabatan Linguistik. Apabila Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan distruktur pada 2001 dengan penggabungan Fakulti Bahasa dan Fakulti Sains Pembangunan, Program Linguistik ditempatkan di bawah Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik. Pada hemat saya, UKM satu-satunya universiti di negara ini yang menawarkan ijazah linguistik di peringkat pengajian prasiswazah, siswazah, dan pascasiswazah. Sepanjang 30 tahun kewujudannya, tidak kurang 1000 orang graduan telah dilahirkan oleh program ini yang kini bertaburan di serata negara, malah di luar negara, yang berkhidmat dalam pelbagai lapangan kehidupan, seperti di institusi pengajian tinggi, sekolah, pejabat kerajaan, swasta, badan berkanun atau berusaha sendiri.
Linguistik (dalam bahasa Inggeris dieja Linguistics) sebagai suatu disiplin ilmu merupakan pengajian bahasa secara saintifik. Maknanya, subject-matter linguistik ialah 'bahasa', tak kisah bahasa apa pun. Yang utama, linguistik cuba sedaya upaya memahami bahasa manusia melalui prosedur saintifk dan seboleh mungkin juga empirik. Usaha memahami bahasa manusia bukan sahaja untuk memahami hakikat bahasa, seperti bagaimana sistem bahasa, bagaimana bahasa beroperasi, bagaimana bahasa dikuasai dan dipelajari, bagaimana bahasa bervariasi, bagaimana bahasa manusia berbeza atau sama antara masyarakat bahasa, dan sebagainya, serta mengapa demikian, malah usaha memahami bahasa penting untuk memahami manusia dan masyarat bahasa itu sendiri. Semua itu dikendalikan melalui penelitian, pengamatan, penganalisisan, dan penyelidikan lapangan yang menekankan tatacara 'penyelesaian masalah'. Ini kerana bahasa adalah alat kebudayaan yang sangat berpotensi dan manusia 'alah' padanya. Dengan demikian, kewujudan disiplin linguistik amat relevan dan penting bagi mana-mana masyarakat.
Tetapi ada juga segelintir manusia yang tidak memahami linguistik dan menganggap disiplin ini sama dengan pengajian bahasa khusus, seperti pengajian bahasa Melayu, pengajian bahasa Inggeris, pengajian bahasa Arab, dsbnya. Pengajian bahasa khusus memang bertujuan memahami sesuatu bahasa dan matlamat akhirnya ialah menghasilkan pengetahun baharu tentang bahasa berkenaan; sedangkan matlamat linguistik ialah menghasilkan pengetahuan baharu tentang ilmu bahasa/linguistik secara keseluruhan. Kedua-dua perkara ini memang nampak macam serupa, tetapi tidak sama. Subject-matter kedua-duanya ialah bahasa, tetapi permulaan dan akhir masing-masing tidak sama. Yang satu mementingkan disiplin ilmu, yang satu lagi mementingkan sesuatu bahasa sebagai temanya. Bagaimanapun, yang satu memerlukan bahasa untuk diperihal, yang satu lagi memerlukan ilmu linguistik untuk memerihal. Dengan demikian, sepanjang 30 tahun operasinya, program linguistik ini telah melahirkan graduan yang bukan sahaja meneliti bahasa utama negara ini, iaitu bahasa Melayu (sewajarnyalah demikian), malah bahasa-bahasa lain juga, seperti bahasa Iban, bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Orang Asli, dialek-dialek Melayu, bahasa Minangkabau, bahasa Indonesia, bahasa Melayu Pattani, Brunei, bahasa Jepun, Arab, Korea, dan sebagainya.
Sebagai insan kelahiran linguistik UKM, saya sempat menyambut ulang tahun usia program ini yang ke-30, tetapi tatkala usianya 35 tahun saya mungkin sudah tiada di sini lagi. Semoga program ini terus maju dan menyumbang dalam pembinaan insan.
Saturday, 24 May 2014
Tuesday, 20 May 2014
18 Mei 2014 (Ahad) yang lalu genaplah 44 tahun usia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Universiti ini ditubuhkan hasil perjuangan ibu bapa kita orang Melayu yang inginkan sebuah universiti yang berteraskan watan dan memartabatkan bahasa ibunda negara tercinta ini, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya. Dalam proses penubuhannya di era kepayahan hidup, orang ramai daripada pelbagai golongan masyarakat turut menyumbang wang ringgit. Walaupun angka itu tidak banyak tetapi komitmen dan semangat yang diperlihatkan amat nyata.
Dalam tempoh 44 tahun - usia yang agak dewasa dan menuju kematangan - UKM terus bergerak ke hadapan dengan mengendong misi yang sama tetapi dengan tuntutan dan cabaran baru. Daripada sebuah universiti yang menyediakan generasi berilmu, kini UKM memainkan peranan universiti penyelidikan negara dalam pelbagai program/disiplin ilmu di tahap prasiswazah, siswazah, dan pascasiswazah.
'Lahir' di UKM dan dapat menabur bakti di Alma Mater ini adalah suatu pengalaman hebat yang tidak terungkapkan. Semoga UKM terus diberkati Allah SWT; mahaguru, staf dan alumninya terus diredhai.
Dalam tempoh 44 tahun - usia yang agak dewasa dan menuju kematangan - UKM terus bergerak ke hadapan dengan mengendong misi yang sama tetapi dengan tuntutan dan cabaran baru. Daripada sebuah universiti yang menyediakan generasi berilmu, kini UKM memainkan peranan universiti penyelidikan negara dalam pelbagai program/disiplin ilmu di tahap prasiswazah, siswazah, dan pascasiswazah.
'Lahir' di UKM dan dapat menabur bakti di Alma Mater ini adalah suatu pengalaman hebat yang tidak terungkapkan. Semoga UKM terus diberkati Allah SWT; mahaguru, staf dan alumninya terus diredhai.
Subscribe to:
Comments (Atom)