Saturday, 21 August 2021

Variasi Bahasa (language variation)

Sebelum tamat perkhidmatan di universiti, saya sempat mengedit dan menerbitkan sebuah buku berjudul Variasi Bahasa bersama M. Azlan Min. Buku itu diterbitkan oleh Penerbit UKM (UKM Press) 2014. Memang saya usaha sungguh-sungguh untuk menerbitkan paling kurang sebuah buku tentang variasi bahasa. Tujuannya adalah bagi menekankan idea, kepercayaan dan pegangan saya bahawa bahasa bervariasi. Usaha itu juga sebagai usaha mencabar dakyah yang berpandangan bahawa bahasa perlu seragam atau dikodifikasi tanpa variasi. Saya ada rancangan untuk menghasilkan buku kedua, sayangnya masa tidak mengizinkan.

        Dalam disiplin linguistik memang ada satu golongan ilmuan yang berpendirian bahawa bahasa adalah bervariasi. Golongan ini menyanggah pandangan yang mengatakan bahawa bahasa harus seragam dan baku. Bagi golongan ini, variasi lain daripada yang diseragamkan dan dibakukan dianggap salah atau menyeleweng. Pada hemat saya, pandangan tegar sebegitu adalah kurang bagus untuk penutur asli/natif selain merencatkan perkembangan atau dinamika bahasa. sedangkan sesuatu bahasa untuk maju perlu dinamik. Menyalahkan atau menafikan variasi yang wujud dalam sesuatu bahasa bermakna menafikan kedinamikan dan kecekapan linguistik penutur bahasa natif. Sebaliknya, kevariasian bahasa menghasilkan kedinamikan, kefungsionalan, dan  kesegaran penggunaan bahasa.

        Bahasa manusia secara fundamentalnya tidak dapat tidak pasti bervariasi. Secara kasar, bahasa bervariasi kerana faktor-faktor pengguna/penuturnya bervariasi/berlainan. Kepelbagaian/kelainan jenis penutur menyebabkan bahasa yang dihasilkan turut pelbagai/ bervariasi. Kepelbagaian/kelainan sifat pengguna bahasa yang menyebabkan kevariasian bahasa mereka ialah faktor gender, usia, status sosial, geografi, dan agama.

...bersambung.





Friday, 25 June 2021

Penyeliaan PhD - terkilan

Penyeliaan calon PhD merupakan satu usaha serius dan mencabar tetapi menyeronokkan. Membuat PhD (penyelidikan + penulisan) lazimnya dalam batas 3-4 tahun.Tugas menyelia calon PhD lazimnya diperoleh apabila calon sendiri yang ingin diselia oleh profesor/pensyarah yang mereka ingini berasaskan bidang kesejajaran bidang antara kedua-dua penyelia dan calon. Di peringkat PhD memang lazim bagi calon memilih penyelia. Tetapi kadang-kadang calon juga diberi penyelia lain atas keputusan pentadbir, bagaimanapun calon boleh memohon untuk diselia oleh profesor/pensyarah yang diingini. Terdapat juga banyak kes bidang kajian calon tidak mempunyai profesor/pensyarah yang sejajar atau sama bidang dengannya. Dalam kes ini, pihak pengurusan boleh melantik jawatankuasa dalam kalangan 2-3 pensyarah yang hampir berkaitan bagi membantu calon dalam penyelidikannya.  

Saya telah menamatkan penerimaan calon PhD tiga tahun sebelum bersara kerana tidak mahu nanti menyulitkan  penuntut selain untuk memberi fokus kepada penuntut sedia ada. Sebelum menamatkan perkhidmatan, saya mempunyai 6 calon PhD di bawah penyeliaan. Bagi empat orang saya adalah penyelia tunggal, manakala dua daripadanya saya penyelia utama dengan seorang penyelia bersama. Keempat-empat penuntut/calon tersebut telah mendaftar 4-6 semester secara penuh masa. Dari segi kemajuan, ada yang telah di pertengahan jalan, malah ada yang ke hujung terowong. Mereka telah jelas akan apa, bagaimana serta kenapa kajian mereka. Sayangnya, kemajuan mereka sangat perlahan. Ada kerana masalah keluarga, ada yang masalah tidak boleh menulis, dan ada juga yang tidak boleh menganalisis data walaupun bimbingan dan latihan telah diberikan.

Seperti yang dikatakan di awal tulisan ini, membuat PhD adalah kerja serius yang memerlukan ketabahan, disiplin dan tanggungjawab yang tinggi. Tidak kurang juga menuntut pengorbanan keluarga.

Dilema yang saya hadapi bagi calon-calon PhD sebegini ketika saya hampir bersara amat berat. Saya memikirkan kesiapan dan kelulusan mereka sebelum saya bersara. Saya bertanggungjawab memastikan mereka tamat dan lulus PhD sebelum saya melangkah keluar dari universiti. Dengan demikian, 3 semester (1.5 tahun) sebelum bersara, saya telah memberi tahu melalui emel kepada penuntut-penuntut seliaan saya akan tempoh masa yang saya ada. Saya menyertakan Jadual Penyeliaan/Kerja yang perlu dipatuhi oleh calon. Mereka memberi aku janji akan mencuba sedaya upaya untuk mematuhi jadual kerja mereka itu. Saya yakin, jika jadual kerja dipatuhi dengan izin Allah swt mereka boleh lulus. Pada awal setiap semester berbaki ingatan dikeluarkan lagi. Sehinggalah pada semester akhir sebelum saya bersara, tetapi mereka masih buntu. Tiada kemajuan yang besar. Saya benar-benar kecewa. 

Sebelum meninggalkan universiti, demi mereka saya memberitahu calon-calon bahawa saya sedia meneruskan penyeliaan dengan syarat mereka memaklumkan kepada pihak pengurusan fakulti/pusat pengajian untuk persetujuan dengan surat rasmi serta meminta disediakan ruang/bilik untuk penyeliaan ketika sudah bersara. Ini kerana setelah bersara nama saya sudah tidak wujud dalam sistem universiti dan saya tidak ada apa-apa kuasa menyelia. Mereka membeitahu, malangnya, pihak fakulti tidak dapat  berbuat demikian.

Hampir bersara, pihak pentadbiran universiti sibuk menguruskan hal-hal bersangkut persaraan. Antaranya pemulangan aset  universiti, pemansuhan emel, cukai pendapatan, penggantian ketua penyelidikan, dll. Ironinya, urusan akademik, khususnya penyeliaan tidak pun diberi perhatian oleh pengurusan fakulti/pusat pengajian. Soal-soal seperti siapa yang akan ambil alih penuntut seliaan yang tak siap, bolehkah saya terus membantu menyelia, dsb. tidak diambil pusing. Yang sangat diingatkan oleh pengurusan kepada saya ialah saya perlu menyerahkan kunci pejabat/bilik saya  pada hari akhir bekerja. Dan itu telah saya lakukan dengan tepat sekali pada hari Jumaat hari akhir bekerja minggu itu. (Saya dapat tahu hari Isnin minggu berikutnya, bekas bilik/ofis saya telah dihuni oleh staf lain.)

Maka tinggallah penuntut-penuntut seliaan saya begitu sahaja. Saya kira mereka pun redha dengan keadan tersebut, Mereka juga sedar akan kealpaan dan kelalain sendiri. Sampai saat ini saya tidak tahu kesudahan mereka. Mereka pun tidak ada menghubungi saya lagi kerana saya faham saya bukan lagi apa-apa kepada mereka. 

Akhir kalam, saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa membuat PhD bukan kerja main-main dan sambil lewa. Ia menuntut komitmen dan pengorbanan yang tinggi. Tempoh masa dan jadual kerja perlu dipatuhi. Ini kerana semua perkara dalam dunia ini ada tempoh masa. Seseorang tidak boleh menyiapkan PhD melebihi tempoh masa atau memakan masa yang lama. PhD lazimnya dikerjakan dan disiapkan dalam 3-4 tahun sahaja. Ini samalah seperti dalam pepeirksaan sesorang diperuntukkan 2 jam untuk menjawab, maka dalam 2 jam itulah dia menjawab. Tamat 2 jam dia perlu berhenti menjawab. Jika dia mengambil masa lebih mungkin mereka calon istimewa tertentu.Jika PhD disiapkan lebih lama, maka data dan isunyamungkin sudah tidak relevan. Bagi saya, jika PhD disiapkan dalam tempoh masa agak lama memberi cerminan nilai kualiti calon. Memperoleh PhD bukan segala-galanya dan penamat bagi pengajian calon tetapi adalah permulaan bagi perjalanan baharu seorang sarjana.Selain itu, pihak pengurusan akademik di fakulti/pusat pengajian juga perlulah cakna (ambil tahu) akan  staf akademik yang bakal bersara agar urusan berkaitan penggantian, penerusan penyeliaan calon PhD dapat dilakukan secara sistematik dan menguntungkan serta memudahkan penuntut.

Demikianlah keterkilanan saya.

Wednesday, 9 June 2021

Selamat 50th UKM

18 Mei 2020 UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia (The national university of Malaysia) mencapai usia separuh abad penubuhannya. Selamat menyambut ulang tahun UKM! Semoga kewujudanmu membawa obor untuk anak watan dan warga dunia yang ingin mencari dan meneroka ilmu di dadamu. 

Tika UKM 50 tahun, saya tidak lagi bersamanya. sungguhpun begitu UKM sentiasa dekat di hati sanubari. Manakan tidak, sejak menuntut ijazah pertama selama 4 tahun dan kemudiannya membuat ijazah sarjana falsafah menjadikan UKM sentiasa dikunjungi. Tambahan pula kediaman kami di Bandar Baru Bangi,  masjid UKM adalah tempat solat utama, iaitu solat fardhu, solat Jumaat, serta solat sunat Tarawih. Masih terbayang betapa meriah dan ramainya jemaah solat Terawih pada Bulan Ramadan dengan kehadiran para mahasiswa dan masyarakat Bandar Baru Bangi (Nota: 1980-an Bandar Baru Bangi belum ada masjid sendiri), selain untuk urusan banking dan pos. 

UKM kini semakin melangkah (menapak?) maju dalam pelbagai bidang yang menjadi core business-nya. Pada hemat saya, kejayaan-kejayaan itu sedikit sebnayak adalah daripada usaha mereka yang tidak lagi berada secara aktif di UKM. Semoga mereka yang sedang berkecimpung di UKM akan terus menabur usaha membariskan UKM seiring universiti tersohor di rantau ini atau di dunia. Tetapi yang paling penting, kualiti program akademiknya perlulah sentiasa dimantapkan dan disejajarkan dengan perubahan zaman dan masyarakat. Ini kerana pada hemat saya, program akademiklah yang menjadi tulang belakang dalam menelurkan hasilan universiti. Di programlah, pada akademia merancangdan menjalankan research berkaitan bidang. Di programlah para siswazah dilahirkan. Di programlah kebanyakan artikel diterbitkan dan seminar berkicau. Dengan demikian, program perlu diisi dengan para akademia yang benar-benar berminat dan komited dengan tanggungjawabnya. Program akademik tidak mampu menanggung akademia pembonceng dan kurang passion dengan dunia akademik. Antara tanda-tanda pembonceng ialah menyiapkan PhD melampaui tempoh masa atau tidak lulus PhD, tidak memperoleh dana penyelidikan kerana proposal kurang/tidak bermutu, tidak naik pangkat ke profesor madya lebih 5 tahun setelah mendapt PhD. 

Berdasarkan pengalaman saya, akademia muda perlau dilatih dan didedahkan dengan sifat kerja ahli akademik. Menjadi akademia bukan sekadar satu kerjaya, tetapi adalah dunia keseronokan mencari jawapan kepada masalah yang ditekuni dalam usaha mencari kebenaran yang nisbi. 

Monday, 5 April 2021

Dirawat

Apabila bersara,  macam-macam penyakit datang menyengah. Bukan tak exercise, bukan tak jaga kesihatan, bukan tak jaga makan-minum. Tapi itulah hakikat hidup. 

Sakit adalah ujian Allah. Redha sahajalah dan berubat. Julai 2020, dikesan mendapat mild stroke oleh doctor klimik swasta. Cuma muka muka herot sedikit. kalau tak perhati betul-betul, memang tak perasan. pertuturan sikit pelat. Disuruh buat CTscan. Setelah CTscan, ditahan diwad untuk pemeriksaan lanjut. Dari situ dikenalpasti ada pula tumor di pituatary gland. Menurut doktor pakar, tumor itu menekan saraf mata. No wonder penglihatan semakin merosot. Banyak langgar benda tika berjalan di rumah. Main tenis pun tak boleh nampak bola. Memandu pun jadi haru-biru sangat mencabar.

Setelah 6 bulan, mild stroke pulih. Alhamdulillah. Syukur sangat kepada Allah. Allah masih beri peluang hidup dengan seperti biasa. cuma penglihatan cepat merosot. 

Kerana pandemik C19, tarikh pembedahan buang tumor terpaksa ditangguh oleh hospital 3 kali. Syukur akhirnya 3.3.21 pembedahan dijadualkan. Rasa sangat kecut perut. Sebab melibatkan otak! Macam-macam datang di fikiran. Macam mana kalau tak sedar-sedar lepas pembendahan. Macam mana kalau gagal, dsb. SubhanAllah.Tapi demi kebaikan, ditabahkan jua. Sebelum masuk wad, kena buat test C19 dulu. Sebelum pembedahan macam-macam prosedur perlu dilalui; kena buat test C19 lagi sekali, kena buat CT scan lagi. Yang paling fobia ialah masuk mesin MRI. Dulu sewaktu dikesan ada tumor, dah baut MRI sekali bagi doktor menentukan kedudukan dan saiz tumor. Memandang setelah lebih 6 bulan, MRI (Magnetic Resonance Imaging) perlu dibuat lagi untuk menentukan status terkini tumor itu. Bukan apa, bunyinya  selama 45-60 minit dalam mesin itu menghantui.Ya, demi kebaikan, pasrah sahajalah.

Menurut doktor tempoh pembedahan ialah 5-6 jam. Ooo major operation! melibatkan 2 team pakar bedah, iaitu Neuro-surgery dan pakar ENT, selain pakat anestetik, dll. Pembedahan pembuang tumor dilakukan melalui hidung. Pengetahuan pakar dan bantuan mesin canggih tak memerlukan pembedahan kepala secara terbuka. Pagi hari yang ditetapkan, selesai solat fardu Subuh dan solat hajat, serta doa yang jarang diungkap dan difikirkan, dengan niat berubat diringi Tawakal kpd Allah SWT, dan kepercayaan kepada team pembedahan yang terdiri drpd pakar-pakar bidang berkenaan, dengan pasrah dan reda ditolak ke dewan pembedahan. Mengucap, istighfar dan selawat ke atas Rasul sentiasa membasahi bibir.

Sewaktu ditekup mulut utk dibius, pakar bius mengingatkan supaya mengucap kalimah Syahadah dan selawat dalam hati. Katanya dalam 10 saat akan dah tak sedar.........

Lama kemudian, terdengar nama dipanggil berulang-ulang kali. Yang terus terlintas di fikiran, "eh, gunting rambut pun aku boleh pengsan!". Kemudian, membuka mata melihat siling dan ramai nurse di sekeliling dewan bedah. Namun masih dalam termanggu, belum ingat sanagt. Prosedurnya menurut Profesor yang membedah, selepas dibedah, saya diletakkan bay dewan bedah sehingga sedar. Saya hanya betul-betul sedar apabila nurse menolak katil ke ruang yang mereka panggil PACU (disebut 'paku'). di situlah baru sedar betul dan melihat jam di dinding - pukul 6 petang. Kulihat wayar berselirat di kedua-dua tangan, di pangkal peha, tiub kencing sambung terus, di kaki serta mesin. Saya bersyukur ke hadrat Allah banyak-banyak kerana memberi peluang saya hidup lagi dan melihat dunia yang fana ini. Maknanya, pembedahan berjaya. Alhamdulilah.

Malam itu, bermalam di PACU untuk pemantauan doktor. Di sinilah rasa macam-macam. Muntah, rasa nak sungai besar, tak selesa, dahaga dan kering tekak kerana hanya bernafas melalui mulut. 

Keesokan harinya, dalam jam 8.30 pagi, saya ditolak ke wad semula.

Pembedahan ini tidak meninggalkan scar di luar. Luka di dalam. Dalam kepala dan jauh dalam pangkal lubang hidung. Pedihnya masih terasa hingga detik ini. Setelah 5 hari di wad, saya dibenarkan keluar, tetapi tidak boleh berkuat-kuat, dan ada jadual follow-up berjumpa pakar-pakar bedah berkenaan. Pakar Endocrine pun memain peranan untuk merumus ubat-uabatan. 

Kini dalam fasa pemulihan. Profesor ENT  dan neurosurgery kata perlu 12 minggu untuk pulih sepenuhnya. So, reda dan bersabarlah.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua doktor, jururawat, dan staf perubatan lain yang terlibat dalam perawatan saya. Penghargaan yang tak terhingga buat isteri tercinta dan anak-anak tersayang yang sentiasa memberi sokongan dan ambil berat. Kalungan terima kasih emak yang sentiasa mendoakan kesembuhan anakmu ini. 




 


Tuesday, 19 January 2021

Perubahan sosial

Assalamualaykum dan selamat ketemu kembali.

Dunia begitu pantas berubah, sejajar dengan manusia yang berubah juga. Sememangnya dunia berubah kerana manusia berubah. Manusia yang mengubah dunia - mengubah cara hidup, budaya, teknologi, world view, politik, dsb.

Tahun 2020 merupakan tahun yang dinantikan oleh rakyat Malaysia. Tahun itu diuar-uarkan Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Dr. Mahathir Mohamad (Perdana Menteri ke-4) mencapai tahap negara maju. Malangnya, wawasan itu  tidak kecapaian kerana pelbagai perkara yang tak terduga berlaku dan menghimpit negara. Sebaliknya berlaku pula melapetaka pada tahun 2020 ini, apabila negara tercinta ini, malah seluruh dunia diserang wabak virus corona yang dinamakan COVID-19.Virus itu mula dikesan di Wuhan, China dan dengan pantas merebak ke seluruh dunia dan diisytiharkan oleh WHO sebagai pandemik. Jutaan orang telah dijangkiti dan ratusan ribu lagi meninggal dunia di seluruh dunia. 

Antara akibat wabak ini ialah perubahan dalam cara hidup harian. Manusia dipinta mengamalkan normal baharu (new normal). Manusia dilarang makan di kedai makan, berjarak fizikal dengan individu lain, tinggal di rumah, elakkan tempat sesak tertutup, malah bekerja pun perlu di rumah - kerja dari rumah (KDR). Kesan langsung daripada normal baharu itu ialah manusia disaran membeli barangan dan makanan secara dalam talian (online). Maka wujud budaya baru dalam membeli-belah. Penghantaran barangan dan makanan menjadi satu bisnes baru yang pesat berkembang. Pelbagai syarikat penghantaran (courier) muncul menawarkan perkhidmatan. Ada yang menggunakan motosikal, kereta, van, malah lori. Syarikat Pos nasional yang dahulu agak suram akibat keghairahan berinteraksi melalui dunia elektronik, kini mendapat nafas baru. 

Perubahan dalam budaya hidup manusia kerap membawa bersamanya kebaikan dan kekurangan. Kebaikannya ramai yang sudah sedia maklum. Tetapi kelemahan atau kekurangannya jarang diungkap atau disedari. Satu kelemahan walaupun bukan keburukan ialah cara penghantar barangan memanggil penerima barangan di rumah. Lazimnya penghantar membunyikan hon kenderaan mereka dengan kuat dan bertubu-tubi kali. Ini pasti mengganggu bukan sahaja penerima malah jiran berhampiran terpaksa juga bangkit menjenguk atau membuka tingkap. 

Eloklah syarikat penghantaran melatih petugas mereka supaya lebih berhemah dalam soal ini. Jika rumah berkenaan ada loceng pagar (gate) manfaatkanlah agar jiran tidak terganggu. Isu ini tidak besar tetapi wajar dipandang berat dan dikikis. Sebaliknya pupuklah budaya harmoni dan lebih beretika apabila berurusan dengan manusia.

Pergi ke sumur di tepi bendang,

pisang tumbuh tepi perigi;

Jika ada umurku panjang

Lain ketika ketemu lagi.


#perubahanmembina 
















 


Saturday, 24 May 2014

30 Tahun Linguistik UKM

2014 genap 44 tahun UKM. Tahun 2014 juga genap 30 tahun usia Program linguistik UKM. Program Linguistik ditubuhkan pada 1984, pada masa itu dengan entiti Jabatan Linguistik. Apabila Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan distruktur pada 2001 dengan penggabungan Fakulti Bahasa dan Fakulti Sains Pembangunan, Program Linguistik ditempatkan di bawah Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik. Pada hemat saya, UKM satu-satunya universiti di negara ini yang menawarkan ijazah linguistik di peringkat pengajian prasiswazah, siswazah, dan pascasiswazah. Sepanjang 30 tahun kewujudannya, tidak kurang 1000 orang graduan telah dilahirkan oleh program ini yang kini bertaburan di serata negara, malah di luar negara, yang berkhidmat dalam pelbagai lapangan kehidupan, seperti di institusi pengajian tinggi, sekolah, pejabat kerajaan, swasta, badan berkanun atau berusaha sendiri.

Linguistik (dalam bahasa Inggeris dieja Linguistics) sebagai suatu disiplin ilmu merupakan pengajian bahasa secara saintifik. Maknanya, subject-matter linguistik ialah 'bahasa', tak kisah bahasa apa pun. Yang utama, linguistik cuba sedaya upaya memahami bahasa manusia melalui prosedur saintifk dan seboleh mungkin juga empirik. Usaha memahami bahasa manusia bukan sahaja untuk memahami hakikat bahasa, seperti bagaimana sistem bahasa, bagaimana bahasa beroperasi, bagaimana bahasa dikuasai dan dipelajari, bagaimana bahasa bervariasi, bagaimana bahasa manusia berbeza atau sama antara masyarakat bahasa, dan sebagainya, serta mengapa demikian, malah usaha memahami bahasa penting untuk memahami manusia dan masyarat bahasa itu sendiri. Semua itu dikendalikan melalui penelitian, pengamatan, penganalisisan, dan penyelidikan lapangan yang menekankan tatacara 'penyelesaian masalah'. Ini kerana bahasa adalah alat kebudayaan yang sangat berpotensi dan manusia 'alah' padanya.  Dengan demikian, kewujudan disiplin linguistik amat relevan dan penting bagi mana-mana masyarakat.

Tetapi ada juga segelintir manusia yang tidak memahami linguistik dan menganggap disiplin ini sama dengan pengajian bahasa khusus, seperti pengajian bahasa Melayu, pengajian bahasa Inggeris, pengajian bahasa Arab, dsbnya. Pengajian bahasa khusus memang bertujuan memahami sesuatu bahasa dan matlamat akhirnya ialah menghasilkan pengetahun baharu tentang bahasa berkenaan; sedangkan matlamat linguistik ialah menghasilkan pengetahuan baharu tentang ilmu bahasa/linguistik secara keseluruhan. Kedua-dua perkara ini memang nampak macam serupa, tetapi tidak sama. Subject-matter kedua-duanya ialah bahasa, tetapi permulaan dan akhir masing-masing tidak sama. Yang satu mementingkan disiplin ilmu, yang satu lagi mementingkan sesuatu bahasa sebagai temanya. Bagaimanapun, yang satu memerlukan bahasa untuk diperihal, yang satu lagi memerlukan ilmu linguistik untuk memerihal. Dengan demikian, sepanjang 30 tahun operasinya, program linguistik ini telah melahirkan graduan yang bukan sahaja meneliti bahasa utama negara ini, iaitu bahasa Melayu (sewajarnyalah demikian), malah bahasa-bahasa lain juga, seperti bahasa Iban, bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Orang Asli, dialek-dialek Melayu, bahasa Minangkabau, bahasa Indonesia, bahasa Melayu Pattani, Brunei, bahasa Jepun, Arab, Korea, dan sebagainya.

Sebagai insan kelahiran linguistik UKM, saya sempat menyambut ulang tahun usia program ini yang ke-30, tetapi tatkala usianya 35 tahun saya mungkin sudah tiada di sini lagi. Semoga program ini terus maju dan menyumbang dalam pembinaan insan.

   


Tuesday, 20 May 2014

18 Mei 2014 (Ahad) yang lalu genaplah 44 tahun usia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Universiti ini ditubuhkan hasil perjuangan ibu bapa kita orang Melayu yang inginkan sebuah universiti yang berteraskan watan dan memartabatkan bahasa ibunda negara tercinta ini, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya. Dalam proses penubuhannya di era kepayahan hidup, orang ramai daripada pelbagai golongan masyarakat turut menyumbang wang ringgit. Walaupun angka itu tidak banyak tetapi komitmen dan semangat yang diperlihatkan amat nyata.

Dalam tempoh 44 tahun - usia yang agak dewasa dan menuju kematangan - UKM terus bergerak ke hadapan dengan mengendong misi yang sama tetapi dengan tuntutan dan cabaran baru. Daripada sebuah universiti yang menyediakan generasi berilmu, kini UKM memainkan peranan universiti penyelidikan negara dalam pelbagai program/disiplin ilmu di tahap prasiswazah, siswazah, dan pascasiswazah.

'Lahir' di UKM dan dapat menabur bakti di Alma Mater ini adalah suatu pengalaman hebat yang tidak terungkapkan. Semoga UKM terus diberkati Allah SWT; mahaguru, staf dan alumninya terus diredhai.