Penyeliaan calon PhD merupakan satu usaha serius dan mencabar tetapi menyeronokkan. Membuat PhD (penyelidikan + penulisan) lazimnya dalam batas 3-4 tahun.Tugas menyelia calon PhD lazimnya diperoleh apabila calon sendiri yang ingin diselia oleh profesor/pensyarah yang mereka ingini berasaskan bidang kesejajaran bidang antara kedua-dua penyelia dan calon. Di peringkat PhD memang lazim bagi calon memilih penyelia. Tetapi kadang-kadang calon juga diberi penyelia lain atas keputusan pentadbir, bagaimanapun calon boleh memohon untuk diselia oleh profesor/pensyarah yang diingini. Terdapat juga banyak kes bidang kajian calon tidak mempunyai profesor/pensyarah yang sejajar atau sama bidang dengannya. Dalam kes ini, pihak pengurusan boleh melantik jawatankuasa dalam kalangan 2-3 pensyarah yang hampir berkaitan bagi membantu calon dalam penyelidikannya.
Saya telah menamatkan penerimaan calon PhD tiga tahun sebelum bersara kerana tidak mahu nanti menyulitkan penuntut selain untuk memberi fokus kepada penuntut sedia ada. Sebelum menamatkan perkhidmatan, saya mempunyai 6 calon PhD di bawah penyeliaan. Bagi empat orang saya adalah penyelia tunggal, manakala dua daripadanya saya penyelia utama dengan seorang penyelia bersama. Keempat-empat penuntut/calon tersebut telah mendaftar 4-6 semester secara penuh masa. Dari segi kemajuan, ada yang telah di pertengahan jalan, malah ada yang ke hujung terowong. Mereka telah jelas akan apa, bagaimana serta kenapa kajian mereka. Sayangnya, kemajuan mereka sangat perlahan. Ada kerana masalah keluarga, ada yang masalah tidak boleh menulis, dan ada juga yang tidak boleh menganalisis data walaupun bimbingan dan latihan telah diberikan.
Seperti yang dikatakan di awal tulisan ini, membuat PhD adalah kerja serius yang memerlukan ketabahan, disiplin dan tanggungjawab yang tinggi. Tidak kurang juga menuntut pengorbanan keluarga.
Dilema yang saya hadapi bagi calon-calon PhD sebegini ketika saya hampir bersara amat berat. Saya memikirkan kesiapan dan kelulusan mereka sebelum saya bersara. Saya bertanggungjawab memastikan mereka tamat dan lulus PhD sebelum saya melangkah keluar dari universiti. Dengan demikian, 3 semester (1.5 tahun) sebelum bersara, saya telah memberi tahu melalui emel kepada penuntut-penuntut seliaan saya akan tempoh masa yang saya ada. Saya menyertakan Jadual Penyeliaan/Kerja yang perlu dipatuhi oleh calon. Mereka memberi aku janji akan mencuba sedaya upaya untuk mematuhi jadual kerja mereka itu. Saya yakin, jika jadual kerja dipatuhi dengan izin Allah swt mereka boleh lulus. Pada awal setiap semester berbaki ingatan dikeluarkan lagi. Sehinggalah pada semester akhir sebelum saya bersara, tetapi mereka masih buntu. Tiada kemajuan yang besar. Saya benar-benar kecewa.
Sebelum meninggalkan universiti, demi mereka saya memberitahu calon-calon bahawa saya sedia meneruskan penyeliaan dengan syarat mereka memaklumkan kepada pihak pengurusan fakulti/pusat pengajian untuk persetujuan dengan surat rasmi serta meminta disediakan ruang/bilik untuk penyeliaan ketika sudah bersara. Ini kerana setelah bersara nama saya sudah tidak wujud dalam sistem universiti dan saya tidak ada apa-apa kuasa menyelia. Mereka membeitahu, malangnya, pihak fakulti tidak dapat berbuat demikian.
Hampir bersara, pihak pentadbiran universiti sibuk menguruskan hal-hal bersangkut persaraan. Antaranya pemulangan aset universiti, pemansuhan emel, cukai pendapatan, penggantian ketua penyelidikan, dll. Ironinya, urusan akademik, khususnya penyeliaan tidak pun diberi perhatian oleh pengurusan fakulti/pusat pengajian. Soal-soal seperti siapa yang akan ambil alih penuntut seliaan yang tak siap, bolehkah saya terus membantu menyelia, dsb. tidak diambil pusing. Yang sangat diingatkan oleh pengurusan kepada saya ialah saya perlu menyerahkan kunci pejabat/bilik saya pada hari akhir bekerja. Dan itu telah saya lakukan dengan tepat sekali pada hari Jumaat hari akhir bekerja minggu itu. (Saya dapat tahu hari Isnin minggu berikutnya, bekas bilik/ofis saya telah dihuni oleh staf lain.)
Maka tinggallah penuntut-penuntut seliaan saya begitu sahaja. Saya kira mereka pun redha dengan keadan tersebut, Mereka juga sedar akan kealpaan dan kelalain sendiri. Sampai saat ini saya tidak tahu kesudahan mereka. Mereka pun tidak ada menghubungi saya lagi kerana saya faham saya bukan lagi apa-apa kepada mereka.
Akhir kalam, saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa membuat PhD bukan kerja main-main dan sambil lewa. Ia menuntut komitmen dan pengorbanan yang tinggi. Tempoh masa dan jadual kerja perlu dipatuhi. Ini kerana semua perkara dalam dunia ini ada tempoh masa. Seseorang tidak boleh menyiapkan PhD melebihi tempoh masa atau memakan masa yang lama. PhD lazimnya dikerjakan dan disiapkan dalam 3-4 tahun sahaja. Ini samalah seperti dalam pepeirksaan sesorang diperuntukkan 2 jam untuk menjawab, maka dalam 2 jam itulah dia menjawab. Tamat 2 jam dia perlu berhenti menjawab. Jika dia mengambil masa lebih mungkin mereka calon istimewa tertentu.Jika PhD disiapkan lebih lama, maka data dan isunyamungkin sudah tidak relevan. Bagi saya, jika PhD disiapkan dalam tempoh masa agak lama memberi cerminan nilai kualiti calon. Memperoleh PhD bukan segala-galanya dan penamat bagi pengajian calon tetapi adalah permulaan bagi perjalanan baharu seorang sarjana.Selain itu, pihak pengurusan akademik di fakulti/pusat pengajian juga perlulah cakna (ambil tahu) akan staf akademik yang bakal bersara agar urusan berkaitan penggantian, penerusan penyeliaan calon PhD dapat dilakukan secara sistematik dan menguntungkan serta memudahkan penuntut.
Demikianlah keterkilanan saya.