Tuesday, 19 January 2021

Perubahan sosial

Assalamualaykum dan selamat ketemu kembali.

Dunia begitu pantas berubah, sejajar dengan manusia yang berubah juga. Sememangnya dunia berubah kerana manusia berubah. Manusia yang mengubah dunia - mengubah cara hidup, budaya, teknologi, world view, politik, dsb.

Tahun 2020 merupakan tahun yang dinantikan oleh rakyat Malaysia. Tahun itu diuar-uarkan Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Dr. Mahathir Mohamad (Perdana Menteri ke-4) mencapai tahap negara maju. Malangnya, wawasan itu  tidak kecapaian kerana pelbagai perkara yang tak terduga berlaku dan menghimpit negara. Sebaliknya berlaku pula melapetaka pada tahun 2020 ini, apabila negara tercinta ini, malah seluruh dunia diserang wabak virus corona yang dinamakan COVID-19.Virus itu mula dikesan di Wuhan, China dan dengan pantas merebak ke seluruh dunia dan diisytiharkan oleh WHO sebagai pandemik. Jutaan orang telah dijangkiti dan ratusan ribu lagi meninggal dunia di seluruh dunia. 

Antara akibat wabak ini ialah perubahan dalam cara hidup harian. Manusia dipinta mengamalkan normal baharu (new normal). Manusia dilarang makan di kedai makan, berjarak fizikal dengan individu lain, tinggal di rumah, elakkan tempat sesak tertutup, malah bekerja pun perlu di rumah - kerja dari rumah (KDR). Kesan langsung daripada normal baharu itu ialah manusia disaran membeli barangan dan makanan secara dalam talian (online). Maka wujud budaya baru dalam membeli-belah. Penghantaran barangan dan makanan menjadi satu bisnes baru yang pesat berkembang. Pelbagai syarikat penghantaran (courier) muncul menawarkan perkhidmatan. Ada yang menggunakan motosikal, kereta, van, malah lori. Syarikat Pos nasional yang dahulu agak suram akibat keghairahan berinteraksi melalui dunia elektronik, kini mendapat nafas baru. 

Perubahan dalam budaya hidup manusia kerap membawa bersamanya kebaikan dan kekurangan. Kebaikannya ramai yang sudah sedia maklum. Tetapi kelemahan atau kekurangannya jarang diungkap atau disedari. Satu kelemahan walaupun bukan keburukan ialah cara penghantar barangan memanggil penerima barangan di rumah. Lazimnya penghantar membunyikan hon kenderaan mereka dengan kuat dan bertubu-tubi kali. Ini pasti mengganggu bukan sahaja penerima malah jiran berhampiran terpaksa juga bangkit menjenguk atau membuka tingkap. 

Eloklah syarikat penghantaran melatih petugas mereka supaya lebih berhemah dalam soal ini. Jika rumah berkenaan ada loceng pagar (gate) manfaatkanlah agar jiran tidak terganggu. Isu ini tidak besar tetapi wajar dipandang berat dan dikikis. Sebaliknya pupuklah budaya harmoni dan lebih beretika apabila berurusan dengan manusia.

Pergi ke sumur di tepi bendang,

pisang tumbuh tepi perigi;

Jika ada umurku panjang

Lain ketika ketemu lagi.


#perubahanmembina 
















 


No comments:

Post a Comment