Monday, 5 April 2021

Dirawat

Apabila bersara,  macam-macam penyakit datang menyengah. Bukan tak exercise, bukan tak jaga kesihatan, bukan tak jaga makan-minum. Tapi itulah hakikat hidup. 

Sakit adalah ujian Allah. Redha sahajalah dan berubat. Julai 2020, dikesan mendapat mild stroke oleh doctor klimik swasta. Cuma muka muka herot sedikit. kalau tak perhati betul-betul, memang tak perasan. pertuturan sikit pelat. Disuruh buat CTscan. Setelah CTscan, ditahan diwad untuk pemeriksaan lanjut. Dari situ dikenalpasti ada pula tumor di pituatary gland. Menurut doktor pakar, tumor itu menekan saraf mata. No wonder penglihatan semakin merosot. Banyak langgar benda tika berjalan di rumah. Main tenis pun tak boleh nampak bola. Memandu pun jadi haru-biru sangat mencabar.

Setelah 6 bulan, mild stroke pulih. Alhamdulillah. Syukur sangat kepada Allah. Allah masih beri peluang hidup dengan seperti biasa. cuma penglihatan cepat merosot. 

Kerana pandemik C19, tarikh pembedahan buang tumor terpaksa ditangguh oleh hospital 3 kali. Syukur akhirnya 3.3.21 pembedahan dijadualkan. Rasa sangat kecut perut. Sebab melibatkan otak! Macam-macam datang di fikiran. Macam mana kalau tak sedar-sedar lepas pembendahan. Macam mana kalau gagal, dsb. SubhanAllah.Tapi demi kebaikan, ditabahkan jua. Sebelum masuk wad, kena buat test C19 dulu. Sebelum pembedahan macam-macam prosedur perlu dilalui; kena buat test C19 lagi sekali, kena buat CT scan lagi. Yang paling fobia ialah masuk mesin MRI. Dulu sewaktu dikesan ada tumor, dah baut MRI sekali bagi doktor menentukan kedudukan dan saiz tumor. Memandang setelah lebih 6 bulan, MRI (Magnetic Resonance Imaging) perlu dibuat lagi untuk menentukan status terkini tumor itu. Bukan apa, bunyinya  selama 45-60 minit dalam mesin itu menghantui.Ya, demi kebaikan, pasrah sahajalah.

Menurut doktor tempoh pembedahan ialah 5-6 jam. Ooo major operation! melibatkan 2 team pakar bedah, iaitu Neuro-surgery dan pakar ENT, selain pakat anestetik, dll. Pembedahan pembuang tumor dilakukan melalui hidung. Pengetahuan pakar dan bantuan mesin canggih tak memerlukan pembedahan kepala secara terbuka. Pagi hari yang ditetapkan, selesai solat fardu Subuh dan solat hajat, serta doa yang jarang diungkap dan difikirkan, dengan niat berubat diringi Tawakal kpd Allah SWT, dan kepercayaan kepada team pembedahan yang terdiri drpd pakar-pakar bidang berkenaan, dengan pasrah dan reda ditolak ke dewan pembedahan. Mengucap, istighfar dan selawat ke atas Rasul sentiasa membasahi bibir.

Sewaktu ditekup mulut utk dibius, pakar bius mengingatkan supaya mengucap kalimah Syahadah dan selawat dalam hati. Katanya dalam 10 saat akan dah tak sedar.........

Lama kemudian, terdengar nama dipanggil berulang-ulang kali. Yang terus terlintas di fikiran, "eh, gunting rambut pun aku boleh pengsan!". Kemudian, membuka mata melihat siling dan ramai nurse di sekeliling dewan bedah. Namun masih dalam termanggu, belum ingat sanagt. Prosedurnya menurut Profesor yang membedah, selepas dibedah, saya diletakkan bay dewan bedah sehingga sedar. Saya hanya betul-betul sedar apabila nurse menolak katil ke ruang yang mereka panggil PACU (disebut 'paku'). di situlah baru sedar betul dan melihat jam di dinding - pukul 6 petang. Kulihat wayar berselirat di kedua-dua tangan, di pangkal peha, tiub kencing sambung terus, di kaki serta mesin. Saya bersyukur ke hadrat Allah banyak-banyak kerana memberi peluang saya hidup lagi dan melihat dunia yang fana ini. Maknanya, pembedahan berjaya. Alhamdulilah.

Malam itu, bermalam di PACU untuk pemantauan doktor. Di sinilah rasa macam-macam. Muntah, rasa nak sungai besar, tak selesa, dahaga dan kering tekak kerana hanya bernafas melalui mulut. 

Keesokan harinya, dalam jam 8.30 pagi, saya ditolak ke wad semula.

Pembedahan ini tidak meninggalkan scar di luar. Luka di dalam. Dalam kepala dan jauh dalam pangkal lubang hidung. Pedihnya masih terasa hingga detik ini. Setelah 5 hari di wad, saya dibenarkan keluar, tetapi tidak boleh berkuat-kuat, dan ada jadual follow-up berjumpa pakar-pakar bedah berkenaan. Pakar Endocrine pun memain peranan untuk merumus ubat-uabatan. 

Kini dalam fasa pemulihan. Profesor ENT  dan neurosurgery kata perlu 12 minggu untuk pulih sepenuhnya. So, reda dan bersabarlah.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua doktor, jururawat, dan staf perubatan lain yang terlibat dalam perawatan saya. Penghargaan yang tak terhingga buat isteri tercinta dan anak-anak tersayang yang sentiasa memberi sokongan dan ambil berat. Kalungan terima kasih emak yang sentiasa mendoakan kesembuhan anakmu ini. 




 


No comments:

Post a Comment